Terdapat dalam kalangan orang yang berhutang, ingkar, melengah atau meremeh-temehkan kewajipan melunaskan hutang. Sikap ini menggambarkan peribadi dan akhlak ciri-ciri orang munafik seperti tidak amanah, mengkhianati janji, menipu dan melakukan kezaliman terhadap orang lain.
Orang yang lalai melunaskan hutang diberikan peringatan berikut oleh Nabi Muhammad SAW:
Pertama: Orang yang berhutang akan terikat hidupnya di dunia dan akan tergantung amalan dan rohnya setelah meniggal dunia sehinggalah dilunaskan segala hutang piutangnya semasa hidup. Sabda Rasulullah S.A.W :-
Maksudnya :
"Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak dihukum selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya ".
Kedua: Orang yang tidak berniat melunasi hutang akan bertemu Allah SWT sebagai seorang pencuri.
Ketiga: Orang yang berhutang akan rugi sekiranya dia berhutang dengan niat untuk merugikan orang lain.
Keempat: Baginda tidak melakukan solat terhadap orang yang didapati mati dalam keadaan masih mempunyai hutang.
Kelima: Orang yang sengaja menangguhkan bayaran hutang ketika dia mampu, dianggap telah melakukan kezaliman.
Keenam: Jiwa orang yang berhutang tidak akan tenteram dan aman, hidupnya dalam kancah resah gelisah dihantui oleh bebanan dan tuntutan hutang yang tinggi.
Ketujuh: Seseorang yang terbeban dengan hutang itu akan memungkinkan ia melakukan pelbagai perkara yang dilarang oleh Syarak seperti mencuri dan menjual maruah diri semata-mata untuk melunaskan hutangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan